Monday, July 29, 2013

Menjejak orang di hutan

Selepas mendaftar masuk hotel dan mendapat rehat yang secukupnya, kami meneruskan pelayaran di Bumi Kenyalang menuju Semenggor. Di Semenggor ada pusat perlindungan oranghutan. Bukanlah kami jakun sangat nak tengok oranghutan ni sebab ramai je kawan aku yang banyak bulu... Tapi dekat Semenanjung mana nak dapat oranghutan yang dibiar bebas bergayutan dan tidak dikurung dalam sangkar ni?

Perjalanan ke sana mengambil masa kira-kira setengah jam dan bayaran masuk ialah RM5 seorang. Selepas memarkir kereta dengan begitu kemas, kami menuruni jalan menuju ke tempat berkumpulnya oranghutan. Kami diberi amaran untuk tidak membuat bising kerana ada dua ekor sedang berkeliaran di bawah itu. Pergh oranghutan ni, macam jawab exam la pulak nak kena diam-diam.

Bila sampai di bawah, ada dua ekor oranghutan sedang rilek rilek, makan dan bergayut. Kagum juga aku bila tengok oranghutan ni. Yelah, aku mana pandai bergayut dekat pokok sambil pegang pisang.

Sambil menunggu waktu memberi oranghutan makan, kami masuk ke galeri yang terletak berhampiran. Di situ ada keterangan tentang oranghutan yang terdapat di pusat pemeliharaan ini.

Mata aku tiba-tiba terpacak pada satu sudut di dinding galeria.

Pergh, oranghutan pun ada sijil lahir.

Saturday, July 27, 2013

Gentleman, start your engine

Sesampainya kami di Bumi Kenyalang, benda pertama ialah mencari kereta untuk disewa. Penjelajahan kami pastinya lebih selesa dengan adanya kenderaan untuk ke lokasi sekitar Kuching. Lagipun, kami berlima. Pastinya berbaloi menyewa kereta. Duit sewa kereta boleh kongsi.

Setelah sepakat membawa berkat, akhirnya kami setuju menyewa Lamborgini Murchialago selama dua hari.

Persoalannya siapakah yang sudi membawa Lambo ni? Siapakah yang paling layak dan paling sedap untuk menjadi pilot?

Akhirnya Zharif tampil ke depan dan menawarkan diri untuk menjadi pemandu. Kami semuanya akur dan bersetuju. Dari segi raut wajah, memang dah jelas kewibaan Zharif ni.

Kami mengucapkan selamat tinggal kepada kakak penyewa kereta dan menyambung perjalanan.

Fuh, sedap betul gaya pemanduan Zharif. Rasa macam duduk atas sofa depan TV.

Friday, July 26, 2013

Ke Bumi Kenyalang

Sepatutnya Amir sudah tiba, namun bukan sahaja susuknya, kakinya yang ramping pun aku tidak nampak.

Setelah melakukan sedikit usaha, akhirnya aku berjaya masuk ke dalam perut pesawat bersama Tosei dan Muna.

Jangan tanya aku kenapa nama kawan aku tu Tosei. Tapi kalau tanya pun aku akan jawab "Dia suka makan tosei."

Setelah meletakkan beg di ruangan bagasi, maka aku dengan tenang duduk sambil menunggu kelibat Amir dan Zharif. Hotak dia, pramugara dah mula membilang orang, tapi dorang tak sampai lagi!

Sambil-sambil berdebar menunggu kedatangan mereka, aku tenangkan hati dengan menyanyi-nyanyi kecil di dalam hati.

Masa semakin suntuk, mata aku dengan garang meraba pintu pesawat mencari kelibat dua kawan aku.

Akhirnya.....

Kelibat yang dinanti-nanti tiba. Dengan tenang Amir melangkah masuk diikuti Zharif. Tenang betul dorang melangkah masuk. Macam tak ada apa, macam tak ada buat kami cuak. Sorang tenang macam ifrit, sorang lagi tenang macam setan.

Wednesday, July 17, 2013

Menguak jendela sukma

Membaca sebuah buku, tidak kiralah fiksyen, faction ataupun rentetan kronologi yang ditokok-tambah, membuat aku hanyut ke dalam persekitaran buku itu.

Kalau buku itu berkisarkan kehidupan nelayan... yang hidupnya menentang samudera luas saban hari, akan membuai aku lemas dan tenggelam ke dalam laut janggawari.

Dan jika buku itu berpusing-pusing tentang zaman kolonial di Nusantara, maka terbentang luas di dalam benakku akan perjuangan satria, pahlawan dan pendekar melawan penjajahan. Terbayang kukuh di dalam kepala akan rakusnya bangsa penjajah yang mencemar harum tanah air ini.

Kadang-kadang... Aku sengaja membaca dan khatamkan buku itu lambat-lambat, supaya tidak lekas aku keluar dari kisah yang menjelma di fikiran ini.

Nanti bila habis membaca, aku akan terdiam kosong dan menerawang berfikir entah ke mana.

Kadang-kadang sampai melontar aku ke lembah sayu yang kelam... dan pastinya penuh jeda.

Thursday, July 11, 2013

Ke bazaar

Semalam aku ke bazaar Kinrara untuk mencari nasi ambeng dalam lagenda. Nasi ambeng di bazaar Kinrara ni memang juadah kegemaran aku saban tahun.

Masalahnya bila dah sampai, gerai makcik itu tidak kelihatan. Puas aku pusing, memang tak ada.

Ah, sudah...

Patutnya tahun lepas lagi aku paksa dia buat instagram.

Tak adalah aku hilang arah dan beli nasi beryani kambing.

Friday, July 5, 2013

Bukan tudung bawal

Sebenarnya tadi aku pergi makan di sebuah uptown. Uptown mana pandai-pandailah korang teka.

Oleh sebab tempoh hari aku terliur tengok kawan aku makan ikan bawal goreng, maka aku pun memesan dua set bawal goreng dengan nasi pada pramusaji. Satu lagi, Shuk punya. Dia juga mahu.

Sambil menunggu ketibaan bawal goreng, aku bersembang dengan Shuk dan Zan tentang isu semasa dan berbagai isu lain. Ya, kami memang intelek.

Tidak lama kemudian, dua set bawal goreng tiba dengan penuh bergaya.

Tiba-tiba Shuk hulur duit dan bayar kedua-dua set bawal goreng ini, meninggalkan aku terkebil-kebil sambil memegang dompet.

Sebagai seorang yang budiman, maka aku pun hulurlah duit kepada Shuk tanda mahu membayar untuk makanan yang aku pesan.

Shuk menolak dan berkata "Tak apa, aku belanja."

.
.
.

Inilah yang buat aku rasa hari-hari nak ajak Shuk lepak sini.

Wednesday, July 3, 2013

Susuk

Ketika aku hanyut di alam mimpi, Amir whatsapp tanya apa yang sedang aku lakukan. Selalunya, kalau jantan yang whatsapp, memang aku takkan terjaga.

Selepas bangun, aku baca mesej dia. Lantas dibalas, "Nak apa?"

Rupanya dia minta hantarkan sampai LRT, sebab tiada kenderaan.

Kemudian aku bingkas bangkit dari katil dan mandi. Ketika mandi aku berfikir apalah salahnya jika aku ikut Amir sekali ke ibukota.

***

Di dalam tren, aku duduk sambil mendengar muzik yang keluar melalui corong headphone. Sampailah di satu stesen, LRT berhenti dan masuk orang yang ramai.

Mata aku terpaku pada satu susuk tubuh yang agak anggun, namun wajahnya tidak dapat ditatap kerana membelakangi aku.

Lama juga bola mata aku tertangkap pada gerangan susuk ini, dan mengekori rapat.

Sampailah satu stesen, kami sama-sama turun. Di kesempatan ini, aku dengan pantas mencuri pandang wajah kepada tuan punya susuk tubuh tadi.

Natang, jantan rupanya.

Tuesday, July 2, 2013

Tujuan

Sebenarnya sekarang aku sendiri tak tahu apa yang aku mahu di dalam hidup. Setiap pagi aku bangun dan buat rutin harian seperti biasa...... tanpa tahu apa benda yang aku nak capai.

Tapi itu untuk jangka masa panjang.

Untuk jangka masa pendek, aku tahu apa yang aku nak.

Habiskan belajar, kerja dan dapatkan sebuah motosikal 1000 kuasa kuda. Dengan deruman enjin yang pasti enak di halwa telinga, aku yakin inilah tujuan hidup aku untuk jangka masa pendek.

Kendatipun begitu, masih ada beberapa benda aku mahu buat dalam jangka masa pendek ini.

Salah satunya mampu berlari dalam acara marathon penuh 42km. Dan aku amat yakin benda ini hanya dapat dicapai sekiranya berat aku turun lagi 4 atau 5 kg. Di dalam erti kata lain, lebih kurus dari sekarang.

Orait, esok makan biskut je.