Monday, August 19, 2013

Ketegasan

Menemui sahabatku Zharif, yang kini telah keluar dari jalan lurus seorang laki-laki. Adapun persimpangan yang kau lalui sekarang ini menuju destinasi yang kabur dan kelam. Di hadapanmu itu liku-liku suram yang bakal dipenuhi cabaran yang bahayanya bisa mencengkam dirimu kelak.

Sahabatku Zharif,

Ranjau kehidupan ini memang tidak lurus... dan begitu banyak simpang. Namun simpang yang kau ambil, jalan yang kau susuri ini tidaklah elok untuk dirimu. Kerana jalan ini, selain dipenuhi jerangkap samar, juga semakin payah untuk didaki.

Pulanglah.

Pulanglah ke pangkal jalan. Jalan orang laki-laki, yang menjadi khalifah di bumi Tuhan. Jalan yang memerlukan fitrah kejadian seorang laki-laki.

Jalan yang lurus ini perlu kau tempuhi dengan semangat perkasa dirimu, yang tegas dan penuh karisma seorang...

Pembimbing keluarga.

Saturday, August 17, 2013

Hari elok untuk keluar

Hari ini aku memulakan hari dengan sebuah senyuman. Begitu manis aku tersenyum ke siling usahlah kau nafikan. Perlahan-lahan aku bangkit menuju bilik air lantas bersiap.

Hari ini ke Zhouzhuang. Sebuah kota air yang telah wujud sejak 1086 masihi. Tidaklah jauh mana letaknya. Kira-kira sejam dari Shanghai.

Di atas lebuhraya, tidak banyak sangat untuk dipandang melainkan deretan kenderaan yang menyusur perlahan dan cermat.

Keluar dari lebuhraya, suasana mula berubah. Redup mata memandang suasana desa di musim panas. Sawah padi segar menghijau. Kolam air dilitupi kiambang merata-rata. Burung menghendap di balik lalang. Pepohon hijau yang tirus ke atas bergoyang-riang. Anak kucing melintas jalan dengan tenang... serta bermacam lagi.

Hampir ke destinasi, ada tasik yang luas di belah kanan. Turut serta banyak sampan di gigi air, juga rumah lama yang penuh ukiran senibina budaya setempat.

Namun jauh di sudut hati, aku harap brader yang bawak van ni pandu laju sikit.

Aku dah nak terkencing sangat ni.

Thursday, August 15, 2013

Ubah

Sebelum pulang ke Shanghai tempoh hari, aku pergi Giant beli barang-barang. Banyak juga nak kena beli. Dekat sini mana ada sos cili Life dengan kicap masin Jalen. Jadi selaku seorang anak yang soleh, aku pun teman ibu pergi membeli-belah.

Kerja aku mudah, tolak troli dan ikut sahaja ke mana ibu pergi. Di sini aku cuba menonjolkan imej anak yang baik sehabis mungkin. Manalah tahu tiba-tiba Erra Fazira berbelanja sini lalu terjatuh cinta pandang pertama pada aku. Dek kerana sinaran soleh yang terpancar di raut wajah.

Jalan punya jalan punya jalan, akhirnya semua barang diletakkan ke dalam troli. Kemudian kami langsung ke kaunter dan bayar.

Menuju rumah, di dalam kereta, ibu buka cerita. Aku tidaklah peduli sangat tapi stresslah juga... sikit.

"Kau kalau nak kahwin, boleh je Wal."

Cepat-cepat aku ajak borak hal kereta kena pasang spoiler kit.

Wednesday, August 14, 2013

Melawat Taman Kolam Ikan

Sebelum keluar, aku jenguk cuaca punya aplikasi dalam telefon. 34 darjah selsius. Boleh tahan juga dia punya berdenting. Tapi tetap, aku gagahkan juga bersiap untuk keluar.

Plan hari ini mahu ke Yuyuan Garden.

Aku, ibu dan Maktin mula melangkah ke stesen Metro yang terdekat dan menuju Yuyuan Garden. Faiq tak nak ikut sebab... biasalah budak tengah nak naik, nak tunjuk sifat melawan.

Bagus sistem Shanghai Metro ni, pandai dia buat stesen berhampiran kawasan tumpuan pelancong.

Keluar dari tren, kami berjalan penuh tenang tapi segak ke destinasi. Sambil-sambil berjalan, sempat juga mata aku menangkap apa yang patut. Jangan salah faham, aku bukan tengok pinggul dan peha orang... tapi monumen dan seni bina yang ada di kawasan ini.

Sampai Yuyuan Garden, kami masuk ikut Gerbang 4. Orang punyalah ramai, macam dekat stadium. Banyak-banyak hari, apahal hari rabu dorang datang sini?

Aku dah la jenis tak suka bergesel-gesel tangan dengan awek awek. Hmmm.

Thursday, August 1, 2013

Bersungkai dalam amannya senja

Pulang dari Semenggor, kami singgah sebentar ke hotel untuk menghantar Muna. Seperti pemain bola yang pancit, dia terpaksa berehat dan pulang merenung siling hotel. Gurau. Malangnya dia sakit perut dan perlukan rehat di bilik.

Jadi, kami berempat pemuda kesepian yang jauh dari tempat asal terus meninggikan layar dan mengemudi bahtera di bumi Kuching. Misi kami petang itu adalah mendapatkan juadah dan bersungkai di tepi sungai.

Amir dan aku berkongsi beli seekor ayam golek. Tosei dan Zharif pula mendapatkan mee kolok. Itu sahaja juadah sungkai kami petang itu bagi menghidupkan peluang untuk menjadi kurus.

Jam menunjukkan jam 6 lalu kami bertolak ke River Waterfront yang terkenal di Kuching. Suasana petang itu tenang dan amat baik untuk berbuka. Kelihatan bot yang menelusuri sungai ini baru tiba melabuhkan sauhnya, sampan tradisional memang sedia tersadai di jeti dan Bangunan DUN Sarawak tersergam indah di seberang.

Menjelang tibanya Maghrib, kami berdebar dan melihat ke kanan ke kiri. Macam biasa, kalau berbuka di luar memang kena tengok orang lain makan dulu.

Kami pun tenggelam dalam amannya suasana di tepi sungai dan hanya menumpukan pada juadah di hadapan mata.

Ayam golek dengan mee kolok? Kau gila? Banyak lagi juadah yang terpaksa aku rahsiakan.