Monday, April 20, 2015

Sebuah Damai yang Kita Cipta I

Tengahari itu aku berasa tidak berapa selesa. Di usia yang sudah lanjut, badanku cepat sengal-sengal. Inilah kitaran dunia, semakin tua semakin mereput. Aku lantas menarik pukat yang ditinggalkan sejak pagi tadi.

Selalunya ikan parang, kitang, sembilang, siakap dan mayong pasti melekat di jaring. Kadang-kadang ada juga dugong tersekat di jaring. Selaku lelaki budiman, akan aku lepaskan dugong itu. Biarlah pukatku jaringannya koyak, aku tidak kisah. Aku hanya mengambil yang perlu dari laut.

Sepanjang perjalanan pulang, aku mendayung tenang. Aku tidak gemarkan enjin yang dipasang di belakang bot, bising malahan dayung lebih seronok dan mesra alam. Walaupun sudah berusia, aku masih gagah mendayung dan mendayung. Sesuai dengan status di Whatsapp-ku, 'Tahan lama.'

Aku dongak ke langit, awan pekat mula berkumpul dan memantulkan biru dan hijau laut.

"Sebentar lagi pasti ribut." getus hatiku. Walaupun tidak mendung, tapi aku amat masak dan fasih dengan bahasa awan di wilayah ini. Peribahasa penjajah juga ada mengatakan 'There's always a calm before storm.'

Sesampainya di tepi pantai, aku menolak bot ke hamparan pasir emas di tepi rumah. Boleh sahaja aku mengikat bot ke pokok kelapa tetapi aku tidak mahu teritip bersarang di bawah bot. Lagipun sebentar lagi bakal ribut.

Sedang aku menolak bot ke atas pasir, isteriku berlari-lari anak ke arahku. Melihat wajahnya yang cantik dan susuk badannya yang penuh berkarisma, hatiku menjadi damai. Ahhhhh, inilah nikmat di dunia yang sebenar, pulang berkerja disambut isteri.


bersambung

No comments:

Post a Comment