Friday, April 24, 2015

Sebuah Damai yang Kita Cipta II

"Yah, yah!" jerit Nadim sambil berlari ke arahku. Nadim ialah anak keduaku hasil perkongsian hidup bersama Balqis Emily selama 30 tahun. Nadim seperti membawa sesuatu tetapi aku tidak pasti apakah yang dipegangnya itu.

"Ayah, lihat! Anakanda bawa pulang mutiara."

Mutiara? Mutiara nak buat apa. Kalau nak mutiara sudah lama aku menyelam ke dasar laut. Tapi mengenangkan itu adalah anak sendiri dan bukan Zharif teman karibku, aku membalas,

"Bagus Nadim, kau kini telah mahir ilmu menyelam." sambil memegang mutiara berwarna mawar, aku halakan ke atas untuk melihat dengan lebih jelas.

"Sekarang berikan mutiara ini kepada ibumu, jelaskan pada dia ini adalah mutiara gred AAA."

Aku hanya mengekor anakku itu dengan pandangan mata.

Kemudian aku kembali memandang jauh ke tengah laut. Di tengah semudera yang terbentang luas, hujan sedang menderu turun. Setiap kali hujan atau mendengar guntur bersahutan, aku pasti tidak boleh lari dari terkenang peristiwa itu. Peristiwa hitam yang telah meninggalkan parut yang berbekas di hati.

Kenapa bukan aku yang dijemput malaikat maut? Mengapa mesti dia?


bersambung

Monday, April 20, 2015

Sebuah Damai yang Kita Cipta I

Tengahari itu aku berasa tidak berapa selesa. Di usia yang sudah lanjut, badanku cepat sengal-sengal. Inilah kitaran dunia, semakin tua semakin mereput. Aku lantas menarik pukat yang ditinggalkan sejak pagi tadi.

Selalunya ikan parang, kitang, sembilang, siakap dan mayong pasti melekat di jaring. Kadang-kadang ada juga dugong tersekat di jaring. Selaku lelaki budiman, akan aku lepaskan dugong itu. Biarlah pukatku jaringannya koyak, aku tidak kisah. Aku hanya mengambil yang perlu dari laut.

Sepanjang perjalanan pulang, aku mendayung tenang. Aku tidak gemarkan enjin yang dipasang di belakang bot, bising malahan dayung lebih seronok dan mesra alam. Walaupun sudah berusia, aku masih gagah mendayung dan mendayung. Sesuai dengan status di Whatsapp-ku, 'Tahan lama.'

Aku dongak ke langit, awan pekat mula berkumpul dan memantulkan biru dan hijau laut.

"Sebentar lagi pasti ribut." getus hatiku. Walaupun tidak mendung, tapi aku amat masak dan fasih dengan bahasa awan di wilayah ini. Peribahasa penjajah juga ada mengatakan 'There's always a calm before storm.'

Sesampainya di tepi pantai, aku menolak bot ke hamparan pasir emas di tepi rumah. Boleh sahaja aku mengikat bot ke pokok kelapa tetapi aku tidak mahu teritip bersarang di bawah bot. Lagipun sebentar lagi bakal ribut.

Sedang aku menolak bot ke atas pasir, isteriku berlari-lari anak ke arahku. Melihat wajahnya yang cantik dan susuk badannya yang penuh berkarisma, hatiku menjadi damai. Ahhhhh, inilah nikmat di dunia yang sebenar, pulang berkerja disambut isteri.


bersambung