Tuesday, September 10, 2013

Terbang ke Negeri Di Bawah Bayu

Perjalanan dari Kuala Lumpur berjalan lancar, kami tiba di Kota Kinabalu kira-kira jam 10:15 pagi. Kami disambut Azmil, rakan dari Menggatal yang akan membawa melihat-lihat negeri di bawah bayu ini.

Sebelum meneruskan ekspedisi, sempat juga kami bergaya di hadapan lapangan kapal terbang. Pun begitu, tidaklah kami bergaya ala-ala budaya K-pop yang bermasalah itu.

Van menyusur jalanraya lantas aku menunjukkan bakat tidur-tidur ayam yang telah aku ada sejak kecil.

***

Ketika terjaga dari lena, kanan dan kiri adalah lembah yang subur menghijau. Dengan hujan yang turun manja-manja, perjalanan menjadi agak dingin. Begitu indah bumi Sabah ini, lantas aku mengeluarkan telefon pintar dan menangkap gambar.

Setelah kira-kira 2 jam di dalam van, kami akhirnya tiba. Rupa-rupanya destinasi pertama kami ialah tanah tinggi yang berpermaidanikan rumput dan dilatari gunung-ganang. Bukan itu sahaja, malah ada lembu-lembu bertompok hitam dan putih yang berkumpul di dalam satu kumpulan. Sejuk barangkali, sebab itu mereka membentuk group hugs.

Pengajaran yang aku dapat ketika melawat ladang tenusu ini adalah, nenen lembu tidak lagi dipicit tangan manusia tetapi mesin.

No comments:

Post a Comment