Thursday, September 12, 2013

Mesilau, pintu ke Laban Rata

Pulang dari menonton mesin memicit nenen di ladang tenusu, kami terus ke Mesilau. Di Mesilau, kami harus berehat satu malam sebelum memulakan pendakian ke Laban Rata.

Sampai sahaja ke Mesilau, kedinginan terus menggigit. Ketinggian dan arus udara di sini membuat aku sentiasa ingin mendapatkan secangkir teh o panas. Apatah lagi hujan turun renyai-renyai menambah kedinginan.

Selepas selesai urusan pendaftaran, kami dibawa ke bilik tidur. Kemudian ada sedikit pemberitahuan tentang jadual esoknya, di mana harus berkumpul dan waktu makan.

Aku keluar dan memandang jauh ke atas gunung. Walau berkabus, dapat dilihat cebisan Kinabalu yang gah di atas sana. Kakinya pula diliputi belantara yang menghijau tebal. Cantik sekali pemandangan ini, memang sesuai untuk jiwa aku yang sukakan keindahan, ketenangan dan perasaan malas untuk berbuat apa-apa.

Jam menunjukkan pukul 7 malam, sudah tiba masanya untuk makan malam. Aku sudah terbayang teh o panas yang akan dihirup perlahan-lahan sambil berfikir tentang masa depan.

Persoalannya sekarang, haruskah aku mandi di dalam cuaca sejuk begini? Naluri aku kuat mengatakan tidak perlu.

No comments:

Post a Comment