Monday, September 16, 2013

Ke destinasi! 3200 meter di atas paras laut

Selepas sarap, kami semua bersiap-siaga untuk memulakan pendakian. Perkara pertama ialah pergi ke titik permulaan mendaki untuk bertemu dengan penunjuk arah.

Norbert Duanis dan Aizuddin Kintai ditakdirkan menjadi penunjuk arah kami hari itu. Sebenarnya mereka juga boleh membantu jika kami tidak mahu menggalas beg yang berat semasa pendakian. 1 kilogram, RM10 tunai.

Kemudian tag nama yang terukir gambar Gunung Kinabalu dan nama masing-masing diberi kepada setiap orang.

Macam biasa, sebelum berangkat, bergambar kenang-kenangan. "Sementara boleh senyum, tangkap gambar dulu." kata seorang brader yang juga ada di situ.

Kira-kira jam 8, kami mula melangkah ke tangga yang berada di sisi. Di sinilah kekuatan laki-laki kami akan diuji, di sinilah keazaman dan iktisas yang teguh diperlukan untuk sampai ke destinasi dan di sini jugalah nilai persahabatan akan lebih terasa. Lain macam punya berkobar kami pada pagi itu! Lain macam!

Selepas 200 meter mendaki, kami pancit dan berhenti.

Thursday, September 12, 2013

Mesilau, pintu ke Laban Rata

Pulang dari menonton mesin memicit nenen di ladang tenusu, kami terus ke Mesilau. Di Mesilau, kami harus berehat satu malam sebelum memulakan pendakian ke Laban Rata.

Sampai sahaja ke Mesilau, kedinginan terus menggigit. Ketinggian dan arus udara di sini membuat aku sentiasa ingin mendapatkan secangkir teh o panas. Apatah lagi hujan turun renyai-renyai menambah kedinginan.

Selepas selesai urusan pendaftaran, kami dibawa ke bilik tidur. Kemudian ada sedikit pemberitahuan tentang jadual esoknya, di mana harus berkumpul dan waktu makan.

Aku keluar dan memandang jauh ke atas gunung. Walau berkabus, dapat dilihat cebisan Kinabalu yang gah di atas sana. Kakinya pula diliputi belantara yang menghijau tebal. Cantik sekali pemandangan ini, memang sesuai untuk jiwa aku yang sukakan keindahan, ketenangan dan perasaan malas untuk berbuat apa-apa.

Jam menunjukkan pukul 7 malam, sudah tiba masanya untuk makan malam. Aku sudah terbayang teh o panas yang akan dihirup perlahan-lahan sambil berfikir tentang masa depan.

Persoalannya sekarang, haruskah aku mandi di dalam cuaca sejuk begini? Naluri aku kuat mengatakan tidak perlu.

Tuesday, September 10, 2013

Terbang ke Negeri Di Bawah Bayu

Perjalanan dari Kuala Lumpur berjalan lancar, kami tiba di Kota Kinabalu kira-kira jam 10:15 pagi. Kami disambut Azmil, rakan dari Menggatal yang akan membawa melihat-lihat negeri di bawah bayu ini.

Sebelum meneruskan ekspedisi, sempat juga kami bergaya di hadapan lapangan kapal terbang. Pun begitu, tidaklah kami bergaya ala-ala budaya K-pop yang bermasalah itu.

Van menyusur jalanraya lantas aku menunjukkan bakat tidur-tidur ayam yang telah aku ada sejak kecil.

***

Ketika terjaga dari lena, kanan dan kiri adalah lembah yang subur menghijau. Dengan hujan yang turun manja-manja, perjalanan menjadi agak dingin. Begitu indah bumi Sabah ini, lantas aku mengeluarkan telefon pintar dan menangkap gambar.

Setelah kira-kira 2 jam di dalam van, kami akhirnya tiba. Rupa-rupanya destinasi pertama kami ialah tanah tinggi yang berpermaidanikan rumput dan dilatari gunung-ganang. Bukan itu sahaja, malah ada lembu-lembu bertompok hitam dan putih yang berkumpul di dalam satu kumpulan. Sejuk barangkali, sebab itu mereka membentuk group hugs.

Pengajaran yang aku dapat ketika melawat ladang tenusu ini adalah, nenen lembu tidak lagi dipicit tangan manusia tetapi mesin.