Thursday, October 17, 2013

Rehat

Tepat jam 10:30, kami tiba di Laban Rata. Dalam kepala aku hanya satu, secangkir teh panas yang dicicip perlahan sehingga habis kemudian ditambah lagi barang sekali dua. Selepas mengesahkan bilik yang akan didiami selepas ini, kami beratur di dalam keramaian untuk mendapatkan juadah yang dihidang. Seperti yang diimpikan, lepas makan aku pekena teh panas dalam dua tiga cawan.

Kemudian kami ke bilik untuk berehat sebelum meneruskan pendakian pada jam 2 pagi.

Kedinginan pada ketinggian 3200 meter bukan lagi masalah, namun menjadi rakan dan kami bersahabat baik dengan hawa sejuk gunung ini. Gila betul, nak pergi kencing pun fikir 2 kali.

Sampai bilik, aku naik katil dan terus terbongkang. Peduli apa mentari terbenam di ufuk horizon.

Aku nak tidur, tidurrrrr.

Sunday, October 6, 2013

Terus ke depan

Di dalam denai hutan Mesilau, kami bertujuh jalan beriringan bersama-sama. Diiringi bayu hutan yang tenang, pohon-pohon hijau yang megah dan bunyi unggas yang damai, kami maju setapak demi setapak.

Bila haus, kami minum.

Bila lapar, kami makan.

Bila penat, kami berhenti.

Begitulah seterusnya.

Ketika berjalan, kami bertembung dengan pasukan pendaki dari kumpulan lain. Mereka juga seperti kami, menunjukkan raut wajah penat namun gembira. Masing-masing berbalas senyuman tanda hormat. Apa yang pasti semuanya selesa berada jauh dari sibuknya ibu kota.

Jalan punya jalan, kami bertembung dengan sekumpulan pendaki dari Indonesia. Mereka memang kerap mendaki di Tanah Jawa namun inilah pertama kali ke sini.

Kemudian kami sambung perjalanan, masih ada banyak kilometer di hadapan. Irwadi, pendaki dari Indonesia memasang lagu dari telefonnya dan mula menyanyi sambil berjalan. Tidak pernah pula aku sangka dalam hutan ni akan mendengar lagu Padi - Sahabat Selamanya. Memang tepat pilihan lagu ini.

Hujan turun. Sekejap lebat sekejap renyai membuatkan kami dihimpit kedinginan.

Kira-kira sejam lebih selepas itu, kami akhirnya bertemu simpang. Kanan naik ke Laban Rata dan kiri turun ke Taman Kinabalu. Dengan tenang kami melangkah ke kanan.

Jumpa satu brader yang turun dari Laban Rata, kami tegur dan tanya berapa jauh lagi untuk ke atas.

"Lagi 2 jam, tapi ikut kelajuan kamu juga la."

Entah kenapa aku terus teringat kepada katil di rumah.