Thursday, June 25, 2015

The Strokes - Call it Fate, Call it Karma

Itu hari aku balik JB. Naik bas. Sebelum sampai, aku telefon adik aku suruh kutip dekat Larkin. Sebelum Wa sampai, aku tunggu tepi jalan betul-betul di hadapan gerbang bas masuk.

Tiba-tiba benak pemikiran aku diterjah memori menunggu bas dengan dia.

Kami kira bas yang masuk terminal.

"1... 2.... 3.... 4..."

Entah berapa biji bas kami kira hari itu.

Friday, May 22, 2015

Balik rumah

Menunggu sebuah teksi ketika semua orang pulang dari kerja adalah antara pengalaman yang tidak aku mahu rasakan. Apalagi di bawah bahang mentari yang sedang membakar di sebuah gurun tepi pantai. Walaupun pak arab ni siap buat hentian bas ada pendingin hawa, otak aku yang sentiasa berfikir di luar kotak mengatakan untuk setia menunggu di tepi jalan.

15 minit kemudian, aku dan kawanku sudah di dalam perut teksi. Perjalanan pulang ke rumah kira-kira 20 minit bergantung pada trafik.

Dalam perjalanan, aku jeling-jeling ke luar tingkap. Tak ada satu benda pun yang boleh digelar apple to my eyes.

Tiba-tiba pemandu teksi bertanya sesuatu dalam bahasa hindi.

Aku dan kawanku berkerut dahi.

Kemudian dia tanya, "you are working here?"

"Yes yes. We have ongoing project here." balas kawan aku.

"Where are you from?"

"Malaysia."

"Oh I thought you guys from India."

---

Tak boleh jadi ni, nak tak nak aku kena jugak belajar bahasa Hindi. Movie Bollywood apa tengah sedap?

Friday, May 1, 2015

Jibril sendiri berkata pada Nabi, "Bacalah!"

Sepanjang perjalanan dari ibu kota tadi aku ditemani kesesakan. Aku tak faham kenapa lebuhraya dibina khas untuk kita semua bersesak-sesak. Mujur di dalam beg ada buku-buku yang aku baru beli. Dan mujur juga aku naik bas, boleh aku baca buku dan meninggalkan tugas memandu kepada brader plusliner.

-----

Khatam. Banyak benda aku setuju dalam Karya Agong ni. Lagi-lagi tuhan smartphone. Smartphone sudah menjadi tuhan dalam kehidupan moden.

-----

Sampai rumah, habis makan, aku mandi. Lepas tu aku lepak dekat ruang tamu. Aku cuba berborak dengan seisi rumah tetapi mereka sedang asyik bermain smartphone. Dengan pantas aku keluarkan buku Catatan Seorang Askar dan bagi Faiq yang sedang khayal main phone baca.

Alhamdulilah dia sedang mengekek ketawa membaca buku. Tidak sia-sia aku pupuk minat membaca dia dari kecil. Dia cuma perlukan bahan untuk dibaca.

Jadi, belilah buku. Dan baca, baca, baca.

Main facebook je, apa kau dapat?

Friday, April 24, 2015

Sebuah Damai yang Kita Cipta II

"Yah, yah!" jerit Nadim sambil berlari ke arahku. Nadim ialah anak keduaku hasil perkongsian hidup bersama Balqis Emily selama 30 tahun. Nadim seperti membawa sesuatu tetapi aku tidak pasti apakah yang dipegangnya itu.

"Ayah, lihat! Anakanda bawa pulang mutiara."

Mutiara? Mutiara nak buat apa. Kalau nak mutiara sudah lama aku menyelam ke dasar laut. Tapi mengenangkan itu adalah anak sendiri dan bukan Zharif teman karibku, aku membalas,

"Bagus Nadim, kau kini telah mahir ilmu menyelam." sambil memegang mutiara berwarna mawar, aku halakan ke atas untuk melihat dengan lebih jelas.

"Sekarang berikan mutiara ini kepada ibumu, jelaskan pada dia ini adalah mutiara gred AAA."

Aku hanya mengekor anakku itu dengan pandangan mata.

Kemudian aku kembali memandang jauh ke tengah laut. Di tengah semudera yang terbentang luas, hujan sedang menderu turun. Setiap kali hujan atau mendengar guntur bersahutan, aku pasti tidak boleh lari dari terkenang peristiwa itu. Peristiwa hitam yang telah meninggalkan parut yang berbekas di hati.

Kenapa bukan aku yang dijemput malaikat maut? Mengapa mesti dia?


bersambung

Monday, April 20, 2015

Sebuah Damai yang Kita Cipta I

Tengahari itu aku berasa tidak berapa selesa. Di usia yang sudah lanjut, badanku cepat sengal-sengal. Inilah kitaran dunia, semakin tua semakin mereput. Aku lantas menarik pukat yang ditinggalkan sejak pagi tadi.

Selalunya ikan parang, kitang, sembilang, siakap dan mayong pasti melekat di jaring. Kadang-kadang ada juga dugong tersekat di jaring. Selaku lelaki budiman, akan aku lepaskan dugong itu. Biarlah pukatku jaringannya koyak, aku tidak kisah. Aku hanya mengambil yang perlu dari laut.

Sepanjang perjalanan pulang, aku mendayung tenang. Aku tidak gemarkan enjin yang dipasang di belakang bot, bising malahan dayung lebih seronok dan mesra alam. Walaupun sudah berusia, aku masih gagah mendayung dan mendayung. Sesuai dengan status di Whatsapp-ku, 'Tahan lama.'

Aku dongak ke langit, awan pekat mula berkumpul dan memantulkan biru dan hijau laut.

"Sebentar lagi pasti ribut." getus hatiku. Walaupun tidak mendung, tapi aku amat masak dan fasih dengan bahasa awan di wilayah ini. Peribahasa penjajah juga ada mengatakan 'There's always a calm before storm.'

Sesampainya di tepi pantai, aku menolak bot ke hamparan pasir emas di tepi rumah. Boleh sahaja aku mengikat bot ke pokok kelapa tetapi aku tidak mahu teritip bersarang di bawah bot. Lagipun sebentar lagi bakal ribut.

Sedang aku menolak bot ke atas pasir, isteriku berlari-lari anak ke arahku. Melihat wajahnya yang cantik dan susuk badannya yang penuh berkarisma, hatiku menjadi damai. Ahhhhh, inilah nikmat di dunia yang sebenar, pulang berkerja disambut isteri.


bersambung

Monday, March 23, 2015

Temaram hilang, Kelimutu menjelang

Sebelum tidur, aku dengan Vovin pergi makan nasi goreng. Motor yang aku sewa sudah dipulangkan dan kami diibaratkan mergastua ganas yang patah sayapnya.

Nasib baik depan hotel ada gerai makan.

-------

Pukul 4 pagi.

"Massss, bangun mas!"

Tok tok tok! Bunyi ketukan datang dari pintu kamar.

"Masssss! Bangun masssss!"

Rupanya aku dah terlajak tidur. Sepatutnya jam 4 pagi aku dah siap dan bersedia untuk beredar.

Aku tengok Vovin masih tidur, aku punya mengantuk datang balik.

"Massss! Ayuh masss! Bangunnnn."

Aku bergegas membuka pintu kamar.

"Benter ya mas, saya baru bangun ni. Biar kami siap dahulu ya." kata aku pada brader Raymond.

"Bisa aja mas. Saya tunggu di mobil."

---------

Pagi itu kami bergerak ke Danau Kelimutu yang terkenal dengan 3 kawah raksasa yang sering bertukar warna. Di dalam perasaan penuh teruja, di dalam kedinginan pagi yang penuh berkabus, di dalam hawa sejuk yang menggigit seluruh tubuh, di setiap meter yang semakin meninggi, sambil mata yang terpejam rapat, aku berkata dalam hati,

"Ko bawak kereta elok-elok Raymond, aku ngantuk ni."

Tuesday, February 24, 2015

Ko ingat aku kad bonus link ke?

Hari itu cuaca memang sedap untuk dating. Dengan berhati-hati aku menuruni anak tangga dan tekan butang unlock di kunci kereta.

Tet!

Pintu yang terkunci kini terbuka. Aku masuk dan terus memandu ke Putrajaya.

'Otw.' Aku tujukan mesej ini pada seorang wanita.

Sebagai anak yang soleh, aku call mak aku tanya masak apa harini. Selalunya dia akan jawab salmon masak kari sebab Faiq suka.

---

Perempuan yang aku mesej tadi kini telah berada di sisi, destinasi hari ini adalah pawagam terdekat. Entah cerita apa, aku pun tak ingat.

"Hari ini you kena tolak 10 point." Tiba-tiba dia cakap.

Hah? 10 point? Point pebende ni? Gila apa tiba-tiba kena tolak point?

"You tak potong kuku, rambut you tak kemas, jambang pun ada sikit dekat pipi."

Inilah kali pertama aku ditolak markah. Lecturer aku pun tak pernah buat. Gila betul.

Dengan penuh perasaan marah yang meluap-luap umpama letusan Krakatau Purba yang memisahkan pulau Samudera dan Jawa, aku balas,

"Erk..."