Wednesday, January 21, 2015

Hari pertama

Ketibaan kami di Bandara Ngurah Rai disambut oleh Zulhabri dan Termana. Termana berasal dari Bali, Zulhabri pula orang Malaysia yang kerjanya merantau dan menterjemahkan buah fikiran ke dalam Microsoft Word.

Selepas memperkenalkan diri, Termana mendepakan tangan dan berkata,

"Welcome to the jungle."

Aku suka bila Termana menterjemahkan Bali sebagai jungle. Aku dapat rasakan jungle adalah satu perkataan yang amat cocok dengan perjuangan yang akan aku dirikan di sini.

Aku dan Vovin merancang untuk tinggal di Bali dan berwisata ke Indonesia Timur selama 25 hari.

Sebenarnya, tidaklah terlalu timur. Kerana... Paling timur adalah Papua. Kami hanya mahu ke Flores. Apapun, Flores tetap di bahagian timur Indonesia.

"Jadi, ke mana kita Nazri? Langsung ke hotel? Atau minum-minum dulu?" tanya Termana sambil memandu pacuan 4 roda.

"Hmmmmmm...." balas Vovin.

Aku tidak peduli. Ke mana jua aku ikut. Yang penting sekarang ialah menjamu mata dengan susuk tubuh bangunan-bangunan dan kemegahan Bali yang ku rindui.

Tuesday, January 20, 2015

Di Puncak Tertinggi Borneo

Aku tak tahu berapa suhu sekarang tapi menurut perkiraan aku yang berpengalaman luas, suhu di ketinggian 3500 meter ini lebih dingin dan menggigit dari suhu di Vladivostok ketika musim salju.

Dalam -50 selsius rasanya.

7 orang pemuda dari semenanjung tetap meneruskan pendakian. Puncak masih belum kelihatan tapi aku dapat rasakan roh hampir terbang dari badan. Penat nak mati!

Setapak, dua tapak, tiga tapak, empat lima enam tujuh lapan.... Aku duduk balik.

"Lepak jap." aku kata pada teman-teman.

Kemudian aku bangkit.

Setapak, dua tapak, tiga tapak, empat lima enam tujuh lapan.... Aku duduk balik.

Cilaka, penat nak mampos. Macam mana aku boleh ada atas gunung ni? Sambil bermonolog angin terus bertiup kencang, menggigit sehingga ke sumsum tulang. Apa yang aku dambakan, hanyalah secawan teh panas, dan hangatnya hawa tropika.

Akhirnya selepas menolak segala kewarasan ke dalam kepala otak, aku nekad untuk menghabiskan pendakian ke puncak.

Fucking shit Kinabalu. Ko tunggu!

.
.
.

Tepat jam 6:30, kami tiba di puncak tertinggi Borneo. Tak nampak sinaran matahari terbit kerana kabut tebal tapi aku tak peduli. Apa yang penting sekarang, tangkap gambar di papan tanda 4095 meter dan terus hidup.

Kepuasan untuk menapak di ketinggian 4095 meter, ko jangan cakap. Menengok fatamorgana dan awan-gemawan yang kejauhan. Ohhhhhh, puas hati bai.

Tapi aku pasti akan kembali.

Sunday, January 18, 2015

Jumaat yang syahdu

Hari itu aku sibuk, tak dapat turun awal. Selalunya aku makan lepas tu baru pergi masjid dengar khutbah. Jadi aku turun dan terus ke kereta bersama rakan-rakan sekerja yang lain.

Masuk je dalam kereta, Danish tanya aku.

"Chucky are you gonna open another franchise?"

Aku pelik. Tapi aku angguk kepala buat-buat faham. Apa kena budak Pakistan sorang ni?

"Chucky make sure your fried chicken are delicious." tambah Danish sambil gelak kecil.

Hah? Fried chicken? Pejadah? Tapi aku  tetap senyum buat-buat faham.

"This is L right?" sambil dia tunjuk baju aku. "LFC. Right now we only have KFC."

"No lah Danish. This is LFC. Liverpool Football Club. Not fried chicken." kata kawan aku yang lain.

"Ohhhhhhh, I dont know any sport."

Kemudian mereka menyambung perbincangan tentang sukan kriket di Pakistan sambil aku merenung ke luar jendela.

Sunday, January 11, 2015

Sekali pemain blah, sekali Liverpool berubah

Semua sudah sedia maklum dan dunia sudah tahu akan kekuatan yang Liverpool ada. Dari barisan pertahanan sampai ke jentera serangan sampailah ke penyudah yang tajam, Liverpool memang digeruni seantero dunia dari hemisfera barat ke ufuk timur.

Tapi itu sebelum Xabi Alonso blah.

Lepas tu kita tahu apa yang terjadi. 5 tahun tanpa Champions League. Kalau kau tengok betapa peritnya orang yang naik motor dalam hujan lebat, begitu jugalah perit dan getir yang aku rasa. Setiap hari aku terpaksa melayari bahtera kehidupan dengan penuh nestapa hanya kerana bola.

Tapi rupanya selepas hujan lebat, datang sinar pelangi. Indahnya memoir Champions League menggamit kembali selepas Suarez berjaya meledakkan gol demi gol ke dalam jaring lawan. Malah hampir menjadi juara jika tidak tewas kepada Chelsea 'the Parking Bus' dan seri dengan Crystal fucking Palace.

Kemudian Luis Suarez berlalu pergi dan kenangan selepas Xabi Alonso blah... terbang kembali dalam ingatan.

Thursday, October 17, 2013

Rehat

Tepat jam 10:30, kami tiba di Laban Rata. Dalam kepala aku hanya satu, secangkir teh panas yang dicicip perlahan sehingga habis kemudian ditambah lagi barang sekali dua. Selepas mengesahkan bilik yang akan didiami selepas ini, kami beratur di dalam keramaian untuk mendapatkan juadah yang dihidang. Seperti yang diimpikan, lepas makan aku pekena teh panas dalam dua tiga cawan.

Kemudian kami ke bilik untuk berehat sebelum meneruskan pendakian pada jam 2 pagi.

Kedinginan pada ketinggian 3200 meter bukan lagi masalah, namun menjadi rakan dan kami bersahabat baik dengan hawa sejuk gunung ini. Gila betul, nak pergi kencing pun fikir 2 kali.

Sampai bilik, aku naik katil dan terus terbongkang. Peduli apa mentari terbenam di ufuk horizon.

Aku nak tidur, tidurrrrr.

Sunday, October 6, 2013

Terus ke depan

Di dalam denai hutan Mesilau, kami bertujuh jalan beriringan bersama-sama. Diiringi bayu hutan yang tenang, pohon-pohon hijau yang megah dan bunyi unggas yang damai, kami maju setapak demi setapak.

Bila haus, kami minum.

Bila lapar, kami makan.

Bila penat, kami berhenti.

Begitulah seterusnya.

Ketika berjalan, kami bertembung dengan pasukan pendaki dari kumpulan lain. Mereka juga seperti kami, menunjukkan raut wajah penat namun gembira. Masing-masing berbalas senyuman tanda hormat. Apa yang pasti semuanya selesa berada jauh dari sibuknya ibu kota.

Jalan punya jalan, kami bertembung dengan sekumpulan pendaki dari Indonesia. Mereka memang kerap mendaki di Tanah Jawa namun inilah pertama kali ke sini.

Kemudian kami sambung perjalanan, masih ada banyak kilometer di hadapan. Irwadi, pendaki dari Indonesia memasang lagu dari telefonnya dan mula menyanyi sambil berjalan. Tidak pernah pula aku sangka dalam hutan ni akan mendengar lagu Padi - Sahabat Selamanya. Memang tepat pilihan lagu ini.

Hujan turun. Sekejap lebat sekejap renyai membuatkan kami dihimpit kedinginan.

Kira-kira sejam lebih selepas itu, kami akhirnya bertemu simpang. Kanan naik ke Laban Rata dan kiri turun ke Taman Kinabalu. Dengan tenang kami melangkah ke kanan.

Jumpa satu brader yang turun dari Laban Rata, kami tegur dan tanya berapa jauh lagi untuk ke atas.

"Lagi 2 jam, tapi ikut kelajuan kamu juga la."

Entah kenapa aku terus teringat kepada katil di rumah.

Monday, September 16, 2013

Ke destinasi! 3200 meter di atas paras laut

Selepas sarap, kami semua bersiap-siaga untuk memulakan pendakian. Perkara pertama ialah pergi ke titik permulaan mendaki untuk bertemu dengan penunjuk arah.

Norbert Duanis dan Aizuddin Kintai ditakdirkan menjadi penunjuk arah kami hari itu. Sebenarnya mereka juga boleh membantu jika kami tidak mahu menggalas beg yang berat semasa pendakian. 1 kilogram, RM10 tunai.

Kemudian tag nama yang terukir gambar Gunung Kinabalu dan nama masing-masing diberi kepada setiap orang.

Macam biasa, sebelum berangkat, bergambar kenang-kenangan. "Sementara boleh senyum, tangkap gambar dulu." kata seorang brader yang juga ada di situ.

Kira-kira jam 8, kami mula melangkah ke tangga yang berada di sisi. Di sinilah kekuatan laki-laki kami akan diuji, di sinilah keazaman dan iktisas yang teguh diperlukan untuk sampai ke destinasi dan di sini jugalah nilai persahabatan akan lebih terasa. Lain macam punya berkobar kami pada pagi itu! Lain macam!

Selepas 200 meter mendaki, kami pancit dan berhenti.